≡ Menu

Tasbih Pemadam Dosa

Tasbih Pemadam Dosa

Empat rakaat yang sederhana, dihiasi dengan tasbih yang sederhana dan mudah tetapi kesan dan impaknya amat luar biasa!

Daripada Ibn Abbas,bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada Abbas Ibn Abdul Muttalib maksudnya: “Wahai Abbas, wahai bapa saudaraku! Mahukah aku berikan kepada kamu sesuatu?

“Mahukah aku berikan sesuatu yang kamu boleh mengambil manfaat daripadanya? Mahukah aku khabarkan kepadamu sesuatu? Mahukah aku lakukan kepadamu 10 perkara yang apabila kamu lakukan perkara itu Allah akan ampunkan dosa-dosa kamu? Dosa-dosa yang terdahulu mahupun dosa yang terkemudian dosa yang lama mahupun dosa yang baru dosa-dosa yang dilakukan tanpa sedar mahupun yang dilakukan dengan sengaja dosa yang kecil mahupun yang besar; dosa yang tersembunyi mahupun dosa yang nyata iaitu (hendaklah) engkau dirikan solat sebanyak empat rakaat. Pada setiap rakaat dibaca al-Fatihah dan surah. Setelah selesai bacaan surah, ketika engkau masih berdiri maka bertasbihlah sebanyak 15 kali dengan bacaan:

سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله والله أكبر

Kemudian dalam rukuk 10 kali, sesudah bangun daripada rukuk 10 kali, semasa sujud pedama 10 kali, semasa duduk antara dua sujud 10 kali, semasa sujud kali kedua 10 kali dan sesudah bangun daripada sujud yang kedua 10 kali. Ini berjumlah 75 kali. Dilakukan sedemikian dalam empat rakaat. Jika mampu, lakukanlah sekali pada setiap hari. Jika tidak maka sekali pada setiap hari Jumaat ataupun sebulan sekali. Jika tidak maka setahun sekali. Sekiranya ini pun engkau tidak dapat lakukan, maka kerjakanlah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.(Riwayat Abu Daud, Ibn Majah, al-Baihaqi dan al-Tirmizi)

Solat ini dinamakan sebagai solat sunat Tasbih. Jumlah tasbih yang diungkapkan untuk empat rakaat ini ialah sebanyak 300 kali. Fadilat dan kepentingan solat ini begitu jelas ditekankan oleh Rasulullah s.a.w. dan amat digalakkan supaya solat ini dapat dilakukan setiap hari. Sekiranya tidak mampu, paling kurang pun hendaklah dilakukan sekali dalam seumur hidup kita.

Jumlah Bacaan Tasbih dalam Solat Sunat Tasbih

(Jika dikerjakan 4 rakaat dengan 1 salam)

Tasbih Pemadam Dosa

Bacaan tasbih setiap rakaat 75 x 4 rakaat = 300 kali bacaan tasbih.

Tawaran Maha Hebat

Cuba kita lihat, mukadimah Rasulullah s.a.w. sebagai pembuka bicara sebelum menganjurkan dan mengajarkan kepada Sayidina Abbas r.a. berkenaan solat sunat Tasbih ini. Rasulullah s.a.w. memulakan dalam bentuk pertanyaan dan kemudian dijawab oleh Rasulullah s.a.w. sendiri. Seterusnya pertanyaan itu diiringi dengan fadilat dan kelebihan solat sunat Tasbih ini Ini manhaj tarbiah yang amat berkesan untuk menyuburkan rasa kepentingan terhadap amalan yang dianjurkan.

Diceritakan dalam kitab al-Mirqat bahawa Abdullah Ibn Abbas r.a. mengerjakan solat sunat Tasbih ini setiap hari Jumaat. Manakala a1-Baihaqi menukilkan bahawa seorang ulama besar daripada kalangan tabiin iaitu Abu Jawza r.a. menunaikan solat sunat Tasbih setiap hari pada waktu Zuhur.

Lihatlah, hanya melalui empat rakaat yang sederhana; dihiasi dengan tasbih yang sederhana dan mudah; tetapi kesan dan impaknya amat dahsyat lagi menakjubkan; iaitu pengampunan dan penghapusan segala dosa. Apa jua bentuk dosa yang seseorang itu lakukan, mereka ditawarkan pengampunan total oleh Allah S.W.T.

Sesungguhnya ini satu rahmat daripada Allah yang terlalu agung buat umat kekasihNya. Usaha yang kecil, tetapi ganjarannya terlalu agung dan besar.

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, anak Adam mana yang tidak melakukan khilaf dan dosa. Maka tawaran pengampunan dosa melalui solat sunat Tasbih ini adalah antara kurniaan Allah Taala yang tiada taranya untuk kita.

Jika insan-insan hebat seperti Sayidina Abbas dan Sayidina Ibn Abbas r.a. bersungguh-sungguh melakukannya, apatah lagi insan seperti kita, yang kerdil dan banyak dosa ini. Tentulah lebih-lebih tagi perlu mengejar dan mendapatkan pengampunan dosa-dosa kita itu melalui solat sunat Tasbih yang hebat ini.

Apa kata iman kita?

Incoming search terms:

kebaikan solat tasbih
{ 0 comments… add one }

Leave a Comment