≡ Menu

Nostalgia Menggamit Nilai Sensitif Lelaki

man-crying_2532946k

Hujan renyai di luar. Awan kumulonimbus menggelapkan suasana. Saya bersandar pada dinding pintu kereta di anjung rumah – tempat parkir kereta yang berbumbung. Melihat dengan tenang butir-butir hujan yang hinggap di  tanah sehingga becah halaman rumah .Ralitjuga  dalam keadaan begitu.
 
Dalam mata melayan percikan hujan ke segenap ruang litup tanah, saya terpanggil untuk  mengingati kembali kata-kata Datuk Hashim  Yahaya, mantan mufti Wilayah Persekutuan.   Katanya: “Ana kalau diberi pilihan untuk   bernostalgia ni, ana lebih suka dan seronok  kalau ingat semula masa ana belajar di Mesir  dulu. Seronok, syeikh!”
 
Kata-kata itu sudah cukup menenangkan jiwa  saya kerana mengingatkan kembali suasana di  Mesir. Namun begitu, suasana ketika Datuk  Hashim Yahaya berada di Mesir dengan suasana  ketika saya berada di Mesir berlainan. Begitu   juga suasana ketika saya berada di Mesir   tidak sama dengan suasana pelajar Malaysia di  sana sekarang.
 
Dahulu kalau seorang pelajar Malaysia di Mesir tidak lulus periksa, satu Kaherah kenal siapa dia. Tetapi sekarang kalau seorang  pelajar Malaysia berkahwin dengan orang  Mesir, belum tentu jiran sebelah rumahnya tahu. Maksudnya, pelajar Malaysia di Mesir  sekarang berlipat kali ganda ramainya  daripada semasa saya belajar di sana satu masa dahulu.
 
Mengimbau kembali nostalgia lalu di Mesir,   terasa seperti sedang menikmati hidangan   hirisan daging kambing barbeku di pantai yang  dihembus angin sepoi-sepoi bahasa sambil   bersilih dengan hirupan minuman muz bi laban  dingin, sedingin salju di Finland.
 
Dalam pada bernostalgia begitu, tiba-tiba  sahaja terlintas di fikiran saya untuk  mencari semula sahabat sahabat lama yang
sememangnya telah lama benar terpisah. Apa  tidaknya masing-masing dengan kehidupan  masing-masing sehingga sukar untuk berkumpul semula.
 
Saya teringat akan satu buku kecil, sekecil   diari harian yang diisikan nama, alamat dan  nombor telefon rakan taulan. Lantas saya ke  stor yang menyimpan beg-beg lama dan  peralatan memancing semasa saya bujan (dahulu. Sekarang tidak digalakkan memancing demi “menghormati” isteri tercinta.
 
Setelah menyelongkar apa-apa yang patut, akhirnya “pucuk yang dicita” hadir juga. Di bawah kereta permainan kawalan jauh, di situlah letaknya buku kecil berwarna hijau itu. Agak kusam rupa wajahnya. Saya pun menyelak helaian demi helaian, namun
sayangnya semua tulisan telah pudar sehingga tidak jelas apa yang tertulis.
Saya terus menyelak sampailah kepada satu nama yang masih boleh dibaca. Tertulis Mansor Gulam (bukan nama sebenar) atau lebih dikenali sebagai Chot dan nombor telefonnya yang agak pudar tetapi masih boleh dibaca. Dengan wajah yang ceria, saya mencapai telefon bimbit dan mendail nombor Chot.
 
Di hujung talian dijawab satu suara:
 
“Hello…”
 
“Assalamualaikum…Chot,” saya memanggil nama  gelarannya sebagai menandakan bahawa saya adalah sahabat lama yang amat mengenalinya.“Yah!” jawabnya.
 
Saya teruja dengan jawapannya yang menandakan panggilan saya itu betul. Saya terus bercerita dan bercakap tentang kisah lama tanpa memberi peluang untuk dia membalas kerana saya tahu Chot seorang yang tidak banyak cakap dan suka mendengar.
 
Akhir perbualan, saya bertanya: “Berapa orang anak dah, Chot?”
 
“Lu mau Ploton Wila?” suara dari sana membalas tanya.
 
Saya mula keliru: “Ha? Siapa ni?”
 
“Ah Choy… jual keleta punya olang ma!”
 
Secara automatik saya membalas: “O00… salah nombor.” Perbualan tamat.
 
Saya membelek semula buku kecil yang telah kusam yang sedari tadi saya pegang. Tertulis di situ antara kelam nombor 8 yang pudar  menjadi nombor 3. Baru saya tahu…tersalah  mendail nombor.
 
Saya mendail semula nombor yang telah dapat  saya cam benar. Panggilan itu betul dan  dijawab oleh orang yang rapat dengan Chot,  katanya: “Betul. Ini nombor Mansor. Doakan  Allahyarham agar ditempatkan di sisi orang  beriman. Baru subuh tadi Mansor kembali  menghadap Ilahi.”
 
Innalillah…. Gerak naluri yang bertepatan pada waktunya.
 
Simbolik daripada kisah:
 
Daripada Abdullah bin Abbas r.a., Nabi s.a.w.  bersabda yang bermaksud: “Dua nikmat yang  ramai manusia terpedaya dengannya; sihat dan  kelapangan.” (Riwayat al-Bukhari)
 
‘Ala kulli hal: Nostalgia yang paling utama  ialah mengingati dan memperbaiki kelemahan  yang tidak sepatutnya kita lakukan pada masa  lalu – muhasabah.
{ 0 comments… add one }

Leave a Comment