≡ Menu

Laksana Lautan Dalam yang Gelap

Best-top-desktop-sea-wallpapers-hd-pictures-sea-wallpaper-image-photo-30

Dalam ayat di atas, Allah s.w.t. telah membawakan dua bentuk kiasan untuk dihayati dan diambil iktibar iaitu perumpamaan dengan fotomorgana dan keadaan laut dalam yang gelap-gelita.
 
Allah s.w.t. mengumpamakan amalan orang yang kufur dan ingkar kepada Allah laksana fatamorgana. Orang yang dahaga dalam suasana cuaca yang panas terik dapat melihat dari jauh sesuatu yang kelihatan seperti air, namun apabila didekati “air” tersebut, tidak ada walau setitis air. Sebaliknya apa yang dilihatnya itu hanyalah fatamorgana iaitu sesuatu yang bersifat khayalan semata-mata.
 
Begitulah keadaannya amalan-amalan orang kafir di dunia ini. Mereka sanggup bersusah-payah melakukan kebaikan demi mendapatkan sesuatu ganjaran, namun harapan mereka berkecai pada hari perhitungan di akhirat kelak. Ibn Qayyim al-Jawziyyah menyatakan dalam kitabnya al-Amthal ? al-Quran al-Karim, bahawa orang ka?r itu akan mendapati bahawa segala amalan mereka itu sia-sia ibarat fatamorgana yang dapat dilihat oleh mata seumpama air, namun hakikatnya tiada.
 
Amalan baik orang yang kufur itu tidak didasarkan kepada keimanan, lalu amalan tersebut tidak mendapat ganjaran daripada
 
Allah di akhirat walaupun di dunia mereka menyangka akan mendapat ganjaran disebabkan amalan mereka itu. Dalam Tafsir Abi al-Su’ud dinyata kan bahawa golongan tersebut akan dimasukkan ke dalam neraka dalam keadaan mereka menyangka mereka akan selamat dengan amalan yang telah dilakukan di dunia.
 
Gelap-Gelita di Lautan Dalam
 
Manakala kiasan kedua yang terdapat dalam ayat ini ialah gambaran gelap-gelita di lautan yang dalam. Gambaran dan kiasan ini Iebih menakutkan serta menggerunkan. Suasana berada di tengah-tengah lautan itu pun sudah menggambarkan suasana yang berbahaya, apatah lagi dalam suasana kegelapan dari segenap penjuru. Al-Quran menggambarkan bahawa keadaannya bukan sekadar itu sahaja, bahkan sesuatu yang lebih menggerunkan ialah ombak pula saling memukul ditambah awan gelap di langit.
 
Gambaran di atas menunjukkan suasana keperitan seolah-olah tiada peluang untuk selamat sehinggakan tangan sendiri pun tidak dapat dilihat dengan jelas ekoran kegelapan yang amat sangat ketika itu.
 
Menurut Muhammad Said Ramadan al-Buti melalui kitabnya Min Rawa’i’al-Quran, keadaan yang digambarkan dalam ayat ini merupakan sesuatu yang tidak pernah diketahui oleh orang Arab ketika itu, sekali gus gambaran al-Quran tersebut menzahirkan elemen ijaz (mukjizat) yang membuktikan bahawa al-Quran itu ialah kalam Allah, bukannya ciptaan manusia.
 
Ibn Qayyim al-Jawziyyah dalam A‘lam al-Muwaqqi’in menyatakan bahawa kiasan dan gambaran dalam ayat ini ditujukan kepada golongan ka?r yang mengetahui kebenaran, akan tetapi tetap memilih kesesatan. Oleh yang demikian, kegelapan telah menyelubungi mata mereka dan selaput tebal telah membutakan pandangan mereka daripada melihat kebenaran, lalu mereka hanyut dalam arus kegelapan yang merangkumi kejahilan, menurut hawa nafsu dan perjalanan hidup yang musnah.
 
Mereka tidak mengambil manfaat daripada ilmu yang dipelajari, lalu kejahilan menyelubungi diri mereka, bahkan mereka umpama golongan yang sesat di lautan dalam yang diselubungi dengan kegelapan dari segenap penjuru. Kemuncak kegelapan itu ialah kekufuran yang menjauhkan mereka daripada cahaya keimanan. Natijahnya mereka akan mendapat kesengsaraan dalam kegelapan neraka di akhirat kelak.
 
Antara Cahaya dan Gelap
Islam ibarat cahaya yang menerangi kegelapan, sebaliknya kekufuran itu merupakan suatu kegelapan. Tanpa cahaya,
manusia akan teraba-raba dalam kegelapan dan kesusahan. Justeru, mereka yang kufur kepada Allah dan golongan yang tidak mengamalkan Islam akan berada dalam kegusaran mencari erti kehidupan.
 
Nikmat yang paling bererti dan bermakna dalam hidup ini adalah apabila memperoleh cahaya Islam. Kebahagiaan akan terpancar tatkala seseorang itu mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupannya dengan penuh keikhlasan.
 
Tidak akan wujud kebahagiaan melainkan terdapat ketenangan terutama ketenangan jiwa dan rohani. Dan ketenangan yang paling penting bagi seorang manusia ialah apabila dia dapat mengenal diri dan Penciptanya, mengetahui tujuan dia dijadikan dan kesudahan yang akan menantinya. Persoalan seperti ini hanya dapat dihuraikan oleh hati yang beriman, sama sekali tidak akan dapat dikecap oleh hati yang kufur dan ingkar kepada Tuhannya.
 
Orang yang kufur kepada Allah s.w.t., walaupun pada zahirnya mereka kelihatan seperti orang yang paling bahagia, hakikatnya hidup mereka terseksa dan menderita. Segala tumpuan dan pemikiran mereka dihabiskan untuk mencari kesenangan hidup di dunia yang bersifat sementara dan tidak kekal ini. Namun apabila mereka menghampiri hari-hari tua, jiwa mereka akan bertambah derita dalam keadaan ?zikal mereka yang menjadi semakin lemah. Mereka sebenarnya tidak dapat menerima hakikat yang mereka akan menjadi tua dan meninggal dunia. Pada saat itu, mereka merasakan hidup ini tidak mempunyai tujuan yang sebenar dan betapa lemahnya diri seorang manusia.
 
Manakala orang yang beriman mengetahui tujuan hidup mereka di dunia ini. Allah ber?rman dalam surah al-Dhariyat ayat 56, maksudnya: “Tidak Aku (Allah) ciptakan jin dan manusia kecuali supaya mereka mengabdikan diri kepadaku (Allah).”
 
Mencari Cahaya Kebahagiaan
 
Kebahagiaan ialah satu unsur rohani yang dapat dirasai oleh setiap Mukmin yang mengakui Allah s.w.t. sebagai Tuhannya dengan penuh kerelaan hati, menerima Islam sebagai cara hidupnya di dunia ini dan mengakui Muhammad s.a.w. sebagai rasul utusan Allah s.w.t. kepada umat manusia. Semua itu dilakukannya dengan penuh kerelaan, kesedaran dan keinsafan tanpa sebarang paksaan.
 
Kebahagiaan dan kegembiraan bagi seorang Mukmin adalah dengan mengerjakan amalan-amalan yang balk dan soleh. Bertambah banyak amalan kebaikan yang dilakukannya, semakin tenang jiwanya dan semakin bahagia hatinya. Antara rahsia kebahagiaan bagi seorang Mukmin adalah sabar dan iman yang jitu. Sabar sebagaimana sabarnya para sahabat
Rasulullah. Lihatlah bagaimana kesabaran mereka dalam menjaga agama Allah dan mengembangkannya ke serata alam untuk menyelamatkan manusia daripada kekufuran dan kegelapan. Tidak ada satu ancaman dan seksaan di dunia ini yang mampu membuatkan mereka berganjak daripada prinsip mereka.
 
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Hebatnya orang yang beriman, sesungguhnya setiap keadaan mendatangkan kebaikan kepadanya. Apabila dia mendapat kenikmatan dan kegembiraan dia bersyukur, maka itu ialah kebaikan baginya.
 
Apabila dia mendapat kesusahan dan mudarat dia bersabar dan itu merupakan kebaikan baginya.” (Riwayat Muslim)
Berbahagialah orang yang beriman. Meskipun mereka diuji sama ada dengan kemelaratan hidup ataupun dengan kemewahan dan keselesaan, mereka tetap bersabar dan bertasbih memuji keagungan Allah s.w.t. Contohilah Nabi Sulaiman a.s. yang semakin besar kerajaan dan pemerintahan baginda, semakin tunduk pada kebesaran Allah s.w.t. Dan lihatlah sahabat seperti Mus‘ab bin Umair r.a., yang sanggup berpisah dengan kemewahan hidup demi memperjuangkan Islam bersama junjungan tercinta Rasulullah s.a.w.
 
Orang yang beriman ialah golongan yang paling berhak untuk menjadi orang yang paling bahagia di dunia ini. Ini kerana kebahagiaan yang mereka kecapi tidak terhenti setakat kehidupan mereka di dunia ini, bahkan berterusan ke alam barzakh dan seterusnya ke alam akhirat pada saat mereka menemui Allah s.w.t.
{ 0 comments… add one }

Leave a Comment