php hit counter

Kisah Labu dan Butang Baju

Antara barang yang cepat Sold Out dan berebut rakyat marhaen beli Lihat Sini

Labu

Imam al-Tirmizi menukilkan sebuah riwayat dalam kitab al-Shama’il al-Muhammadiyyah dalam bab lauk pauk Rasulullah s.’a.w.
 
Anas bin Malik r.a. menceritakan: “Seorang tukang jahit mengundang Rasulullah s.a.w. menghadiri satu jamuan yang hidangan tersebut dimasak sendiri olehnya. Saya menemani Rasulullah s.a.w. menghadiri jamuan tersebut. Tuan rumah telah mendekatkan roti yang dibuat daripada gandum serta kuah berisi labu dan daging kepada Baginda. Saya melihat Baginda mencari-cari labu di dalam mangkuk tersebut. Maka sejak itu saya menyukai labu.” (Hadis ini turut direkodkan oleh al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ibn Majah)
 
Manakala dalam bab pakaian Rasulullah s.a.w., Imam al-Tirmizi menukilkan riwayat daripada Qurrah r.a., beliau menceritakan: “Saya pernah menemui Rasulullah s.a.w. bersama sekumpulan orang daripada kaum Muzainah untuk kami berbaiah dengan Baginda. Ketika itu pakaian Baginda terbuka – atau dia mengatakan bahawa butang baju Rasulullah s.a.w. terbuka. Lalu saya memasukkan tangan saya melalui leher baju itu dan menyentuh khatam nubuwwah (tanda kenabian) Baginda.” (Hadis ini turut direkodkan oleh Abu Daud, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Ahmad)
 
Hanya Ingin Menyerupai Rasulullah
 
Dalam kitab Khasail Nabawiah, al-Imam al-Hafiz Syeikh al-Hadith wa al-Muhaddithin al-‘Allamah Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi al-Siddiqi rhm. memberikan syarah ringkas kepada kedua-dua riwayat ini.
 
Bagi riwayat pertama, Hadrat Syeikh berkata: “Kemungkinan Sayidina Anas r.a. dijemput sama atau kebetulan beliau menemani Baginda. Tidak mengapa menemani orang yang diundang dengan syarat tuan rumah tidak keberatan. Sejak itu beliau gemar makan labu.
 
Ini menunjukkan cinta para sahabat kepada Rasulullah s.a.w. Cinta sejati menuntut setiap amalan dan perkataan orang yang dicintai itu bersemi dalam hati. Darjat cinta menentukan kasih sayang terhadap orang yang dicintai. Alangkah Maha Agungnya Allah!
 
Hari ini orang yang mengaku mencintai Rasulullah s.a.w. tidak pula ingin diri mereka menyerupai Baginda mahupun bercita-cita meniru cara hidup Baginda.”
 
Mengenai riwayat kedua pula, Hadrat Syeikh al-Hadith memberikan komentarnya berikut: “Urwah r.a., salah seorang perawinya berkata: ‘Aku tidak pernah melihat Mu‘awiyah (Ibn Qurrah) serta anaknya mengancing butang leher baju mereka tidak kira sama ada pada musim sejuk mahupun musim panas.
 
“Naluri manusia memang suka meniru setiap amalan orang yang dicintai. Perasaan cinta mereka kepada Rasulullah s.a.w. telah memberi kita gambaran setiap perlakuan dan amalan Baginda s.a.w.”
 
Cinta Luar Biasa
 
Bukalah mata hati kita.’Dua riwayat yang ringkas ini cukup untuk mengajar kita suatu pelajaran yang besar. Sayidina Anas r.a. yang baru sekali memerhati bahawa Rasulullah s.a.w. sangat menggemari labu, terus terdorong untuk menyukainya.
Lihat pula kisah kedua tadi. Hanya sekali sahaja melihat butang leher baju Rasulullah s.a.w. terbuka, musim sejuk mahupun panas tidak menjadi penghalang untuk mereka tidak membutangkan leher baju mereka.
 
Kesan cinta jauh lebih hebat daripada kesan cuaca. Kemanisan meniru orang yang dikasihi dengan penuh cinta, menyebabkan yang panas dan sejuk menjadi remeh dan sirna.
 
Inilah bukti cinta. Kerana cinta yang sebeginilah, para sahabat akan berdiri di hadapan Allah pada hari kiamat kelak. Mereka telah hidup dengan kelazatan cinta ini dan mereka juga telah mati dengan kemanisan cinta ini. Bagi kita, mungkin labu dan butang baju ini kelihatan amat remeh, tetapi bagi pencinta sejati seperti para sahabat, perkara ini amat bermakna dalam hidup mereka.
 
Imam al-Tirmizi merekodkan satu riwayat yang bersumber daripada Anas r.a.bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepadanya yang bermaksud: “Wahai anakku! Jika engkau mampu berada pada waktu pagi dan petang dalam keadaan hatimu tidak dengki kepada sesiapa, maka lakukanlah.”
 
Kemudian Rasulullah s.a.w. menyambung lagi: “Wahai anakku! Yang demikian itu termasuk sunnahku dan sesiapa yang mencintai sunnahku, maka sesungguhnya dia mencintaiku. Sesiapa yang mencintaiku maka dia akan bersama-sama denganku di dalam jannah!”
 
Bagaimana dengan kita? Tepuk dada, tanyalah cinta!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.