≡ Menu

Kemenangan Bagi yang Melaksanakan

Kemenangan Bagi yang Melaksanakan
 
Jika ingin mencapai kejayaan, hendaklah kita meneladani orang yang berjaya. Ini prinsip  dalam memburu kejayaan. Prinsip inilah yang  dipatuhi oleh para sahabat Rasulullah s.a.w.  Mereka orang yang paling setia, istiqamah dan  jujur dalam mengikut apa-apa sahaja yang  dilakukan oleh Rasulullah khususnya dalam  mengutamakan waktu subuh. Dalam hidupnya, Rasulullah s.a.w. sangat mengutamakan keberkatan pada waktu subuh. Baginda telah  berdoa, mafhumya: “Ya Allah berkati umatku  pada waktu pagi.” (Riwayal; al-Tirmizi)

 

Rasulullah s.a.w. memilih waktu awal pagi  untuk menghantar utusan dakwahnya. Imam al-  Tirmizi meriwayatkan daripada al-Nu’man bin  Muqarrin bahawa Rasulullah s.a.w. akan  menunggu matahari terbit sebelum memulakan  pertempuran. Beliau menjelaskan: “Aku turut bertempur bersama Rasulullah.  Ketika fajar menyingsing, Baginda menahan  pasukannya sampai terbit matahari. Ketika  sudah terbit, Baginda mengarahkan untuk  bertempur.”

Dengan keberkatan waktu Subuh dan doa yang dipanjatkan selepas solat Subuh, itulah dua  “tiupan kemenangan” yang membina keyakinan  tentera Islam apabila berdepan dengan musuh-  musuhnya. Lihat apa yang terjadi dalam perang Badar; Anas bin Malik meriwayatkan: “Pada  waktu perang Badar, Rasulullah s.a.w. solat  Subuh pada awal fajar. Kedudukan Baginda pada saat itu sangat hampir dengan musuh, lalu  Baginda memerangi mereka.” (Riwayat al- Nasa’i)

Justeru, Allah telah bersumpah dengan kuda- kuda yang digunakan dalam jihad di jalan  Allah pada waktu Subuh. Allah berfirman yang  bermaksud: “Demi kuda perang yang berlari  kencang dengan terengah-engah, dan kuda yang  mencetuskan api dengan pukulan kuku kakinya  dan kuda yang menyerang dengan tiba-tiba pada waktu subuh.” (Surah al-‘Adiyat100: 1-3)

Mengapa umat yang menjaga solat Subuh  berjemaah dijanjikan kemenangan? Ini kerana  mereka telah berjaya menjalani tahap-tahap  pentarbiahan, mujahadah (melawan hawa nafsu)  dan ujian bagi memantapkan keimanan dan  ketakwaan. Iman dan takwa ditempa melalui ujian.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Adakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan  saja mengatakan: ‘Kami telah beriman’,  sedangkan mereka tidak diuji lagi? Dan  sesungguhnya kami telah menguji orang sebelum  mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui  orang yang benar dan sesungguhnya Dia  mengetahui orang yang dusta.” (Surah al- Ankabut 29: 2-3)

{ 0 comments… add one }

Leave a Comment