≡ Menu

Kelebihan Solat Subuh

Solat Subuh

Mengapa begitu hebat sekali impak mengerjakan solat Subuh secara berjemaah kepada ummah? Mengapa begitu banyak kelebihan yang dijanjikan buat mereka yang memulakan aktiviti kehidupan sejak awal pagi yakni sebaik sahaja selepas solat subuh?Sehinggakan atas dasar itu Rasulullah s.a.w dan para sahabat Baginda sangat serius dan fokus melaksanakannya dalam kehidupan dan perjuangan?

Semua itu kerana mereka sangat mengharap dan meyakini akan janji Allah. Allah s.w.t. telah menetapkan banyak kelebihan pada waktu Subuh. Waktu itu banyak keistimewaan bagi mereka yang menghargainya. Dan sangat besar pula ancaman bagi mereka yang mengabaikannya. Antara ganjaran dan ancaman itu ialah:

1. Waktu yang Diagungkan Allah

Allah sangat mengagungkan waktu Subuh dan tidak pernah bersumpah dalam al-Quran dengan waktu solat kecuali solat Subuh dan Asar. Allah berfirman yang bermaksud: “Demi fajar, dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah.” (Surah a/-Fajr 89: 1-2). Allah s.w.t. juga telah berfirman yang bermaksud:“Dan dirikanlah pula solat Subuh. Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan oleh malaikat.” (Surah al-Isra’17:78)

Kita juga harus mengagungkan waktu Subuh. Caranya? Dengan melaksanakan solat Subuh berjemaah, berzikir dan memohon ampun kepada Allah. Apakah kita tergolongdalam kalangan orang yang memuliakan waktu Subuh sekiranya kita tidak bangun mengerjakan solat atau tidur semula sejurus selepas melaksanakannya?

Percayalah, orang yang memuliakan apa yang dimuliakan Allah akan dimuliakan (dikurniakan syurga), manakala orang yang mengabaikan apa yang dimuliakan Allah akan terhina (terjun ke neraka). Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Ash‘ari, dia berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang solat pada dua waktu yang dingin, maka dia akan masuk syurga.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ibn Hibban) Dua waktu yang dingin yang dimaksudkan dalam hadis itu ialah solat Subuh dan Asar.

2. Pahala Beribadah Satu Malam Penuh

Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang solat Isyak berjemaah, maka seolah-olah dia telah solat separuh malam. Sesiapa yang solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah solat malam satu malam penuh.” (Riwayat Ahmad, Muslim dan Ibn Hibban)

Malah dari segi keutamaan solat Subuh secara berjemaah pada bulan Syawal, Safar dan lain-lain mengatasi keutamaan beribadah pada malam bulan Ramadan kerana memburu Lailatulqadar. Ini kerana solat Subuh hukumnya wajib manakala berqiamullail pada malam bulan Ramadan walaupun sangat dituntut, kedudukan hukumnya masih di tahap sunat.

Sayangnya, betapa ramai umat lslam yang datang untuk solat Tarawih dan mengerjakan amalan-amalan sunat yang lain pada malam bulan Ramadan tetapi culas dalam mengerjakan solat Subuh berjemaah. Ke mana perginya orang yang begitu ramai mengimarahkan masjid pada malam-malam bulan puasa sewaktu solat Subuh berjemaah di masjid pada bulan-bulan yang lain?

Padahal tertib keutamaan amal telah jelas; bahawa ibadah yang bertaraf fardu ain dan fardu kifayah mengatasi ibadah yang bertaraf sunat. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak ada amal yang dikerjakan hamba-Ku dengan maksud untuk mendekatkan diri kepadaku yang lebih Aku cintai selain ibadah wajib yang diperintahkan kepadanya. Dan hambaKu terus mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan sunat sehingga Aku mencintaiNya.” (Riwayat al-Bukhari, al-Baihaqi, Ibn Hibban dan Abu Na‘im)

3. Berada dalam Perlindungan Allah

Rasulullah s.a.w. telah berjanji bahawa orang yang melaksanakan solat Subuh akan dilindungi Allah. Diriwayatkan oleh Jundab bin Sufyan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan (perlindungan) Allah. Maka jangan cuba-cuba membuat Allah membuktikan janjiNya. Sesiapa yang membunuh orang yang menunaikan solat subuh, Allah akan menuntutnya sehingga Dia akan membenamkan mukanya ke dalam neraka.”(Riwayat Muslim)

4. Waktu Terbaik Membina Kekuatan Rohani

Menunaikan solat dan berdoa pada sepertiga malam sangat besar nilainya di sisi Allah. Kesempatan untuk bangun pada waktu itu hanya akan dimanfaatkan oleh mereka yang bangun untuk mengerjakan solat Subuh.Ya, pada saat orang lain nyenyak dan enak tidur, ada antara hamba-hambaNya yang bangun untuk mendekatkan diri kepadaNya. Lalu bagaimana balasan Allah terhadap mereka?

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Allah akan turun ke langit bumi pada setiap malam. Ketika malam tinggal sepertiga yang terakhir, Dia berkata: ‘Mana hamba-Ku yang berdoa, untuk Aku kabulkan doanya? Mana hamba-Ku yang meminta kepada-Ku, untuk aku penuhi permintaannya? Mana hamba-Ku yang beristighfar, untuk Aku ampuni dosanya?'” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Keutamaan itu terus bersambung sehingga waktu Subuh dan selepasnya. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, dia berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menunaikan solat Subuh secara berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah hingga matahari terbit, kemudian solat dua rakaat, maka baginya pahala seperti haji dan umrah.”Rasulullah s.a.w. menambah lagi yang bermaksud: “(Haji dan umrah yang ditunaikan) dengan sempurna, dengan sempurna, dengan sempuma.” (Riwayat al-tirmizi) Diberitakan juga apabila Rasulullah s.a.w. telah melaksanakan solat, Baginda akan duduk di tempatnya sehingga matahari terbit dengan baik.

5. Dikurniakan Cahaya pada Hari Kiamat

Hari kiamat adalah hari yang gelap gelita. Pada hari itu, sumber cahaya akan padam apabila matahari, bulan, bintang dan seluruh cakerawala akan digulung. Allah berfirman yang bermaksud: “Apabila matahari digulung cahayanya. Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak.” (Surah al-Takwir 81: 1-2) Dalam keadaan gelap itulah manusia akan melalui “sirat” (jambatan akhirat). Mereka yang berjaya menyeberangi jambatan ini akan masuk ke dalam syurga manakala yang gagal akan terjun ke dalam neraka.

Dua keadaan ini diperincikan oleh Allah menerusi ayat-Nya yang bermaksud: “Iaitu Pada hari ketika kamu melihat orang Mukmin; lelaki dan wanita, cahaya mereka bersinar di hadapan dan kanan mereka.(Dikatakan kepada mereka): ‘Pada hari ini ada be’rita gembira untukmu, yakni syurga yang mengalir, dibawahnya sungai-sungai yang kamu kekal di dalamnya, itulah kemenangan yang besar.’ Pada hari ketika orang munafik; lelaki dan wanita berkata kepada orang beriman: ‘Tunggulah kami supaya kami dapat mengambil sebahagian daripada cahayamu.’ Dikatakan kepada mereka: ‘Kembalilah kamu ke belakang dan carilah sendiri cahaya untukmu. Lalu diadakan antara mereka (Mukmin dan munafik) dinding yang mempunyai pintu, di sebelah dalamnya ada rahmat dan di sebelah luarnya terdapat seksa.”’ (Surah al-Hadid 57: 12)

Ya, hanya orang Mukmin akan terselamat kerana mereka mendapat cahaya. Dari manakah cahaya itu diperoleh? Tentulah daripada amalan-amalan baik mereka dan salah satunya tentulah solat Subuh berjemaah. Ia adalah sumber cahaya yang menerangi kehidupan akhirat kita. Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Berikanlah khabar gembira kepada orang yang banyak berjalan dalam kegelapan menuju ke masjid dengan cahaya yang sangat terang pada hari kiamat.” (Riwayat Abu Daud dan al-firmizi)

Maksud “dalam kegelapan” dalam hadis ini ialah solat Isyak dan solat Subuh. Dan ayat “menuju masjid” membawa maksud menuju solat jemaah yang dilaksanakan di dalam masjid.

6. Dapat Melihat Wajah Allah

Orang beriman akan dikurniakan nikmat Allah yang paling besar yakni melihat wajah Allah di dalam syurga. Apakah “tiket” untuk mendapat nikmat yang besar ini? Jawapannya; mereka yang menjaga dua waktu solat -solat Subuh dan solat Asar.

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Jarir bin Abdullah yang berkata dengan maksudnya: “Kami sedang bersama Rasulullah s.a.w. ketika melihat bulan purnama. Beliau berkata: ‘Sungguh, kalian akan melihat Rab kalian sebagaimana kalian melihat bulan yang tidak terhalang dalam melihatnya. Apabila kalian mampu, jangan kalian menyerah dalam melakukan solat sebelum terbit matahari (Subuh) dan solat sebelum terbenam matahari (Asar), maka lakukanlah.” Ya, begitulah keutamaan solat Subuh dan Asar.

7. Seksa yang Pedih untuk Siapa yang Meninggalkannya

Samurah bin Jundab telah meriwayatkan satu mimpi yang dialami oleh Rasulullah s.a.w. mengenai azab yang menimpa orang yang derhaka khususnya bagi orang yang tidur pada saat orang lain mengerjakan solat Subuh. Rasulullah s.a.w. telah bersabda dan menceritakan tentang mimpinya itu, yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepadaku malam tadi dua tetamu (Jibrail dan Mikail). Kedua-duanya diutuskan kepadaku dan berkata: ‘Berangkatlah’, lalu aku pergi bersama mereka.

Kami mendatangi orang yang sedang tidur dan yang lainnya berdiri tegak di atasnya dengan membawa batu. Lalu tiba-tiba melepaskan batunya tepat pada kepalanya sehingga hancur luluh kepalanya. Batu itu telah meleburkannya.”

“Kemudian dia mengambilnya kembali dan dia mengulangi apabila kepalanya pulih, sebagaimana awalnya. Kemudian dia akan kembali, lalu melakukan sebagaimana yang dia lakukan pada kali pertama. Rasulullah s.a.w. berkata: ‘Saya berkata kepada kedua-duanya: ‘Subhanallah! Apa ini?’ Mereka berdua berkata: ‘Lanjutkan perjalanan, lanjutkan perjalanan…”’

“Setelah melanjutkan perjalanan. Kedua-dua malaikat tadi barulah memberi penjelasan dengan berkata: ‘Orang pertama yang kamu datangi tadi; yang memecahkan kepalanya dengan batu ialah orang yang membawa al- Quran namun mencampakkannya dengan begitu sahaja,dan tidur pada saat solat wajib.”’ (Riwayat al-Bukhari)

8. Kesempatan Mengerjakan Solat Sunat Fajar

Hanya orang yang mengerjakan solat Subuh sahaja mempunyai kesempatan untuk melaksanakan solat sunat sebelum Subuh. Logiknya, orang yang meninggalkan solat Subuh, tidak mungkin dapat melaksanakan solat sunat sebelum Subuh. Sedangkan solat sunat sebelum Subuh sangat mendapat perhatian daripada Rasulullah s.a.w. berbanding solat sunat yang lain. Rasulullah bersabda yang bermaksud:  “Dua rakaat fajar (solat sunat sebelum Subuh) lebih baik daripada dunia dan seisinya.”
(Riwayat Abu Daud, Muslim dan al-Nasa’i)

Sekalipun Rasulullah mengerjakan solat sunat ini dengan pendek – membaca surah al-Kafirun pada rakaat pertama dan surah al-Ikhlas pada rakaat kedua, namun keutamaan solat tersebut bukan pada panjangnya bacaan atau lamanya berdiri tetapi pada ketentuan waktu solat itu dilaksanakan yakni sebelum Subuh! Hingga dengan itu, Sayidatina Aisyah telah berkata: “Tidak ada solat sunat yang lebih diperhatikan Rasulullah selain solat sunat sebelum Subuh.” (Riwayat al-Bukhari) Justeru, Rasulullah diberitakan tidak meninggalkan solat sunat ini berbanding solat sunat yang lain sekalipun dalam keadaan musafir.

Malah disebabkan nilainya yang begitu tinggi, Baginda akan mengqada (mengganti) solat sunat fajar itu sekiranya terlewat waktunya, sama ada setelah selesai solat Subuh atau setelah terbit matahari.

9. Saat Terbaik untuk Mendapat Ilmu dan Tarbiah (Pendidikan)

Waktu awal pagi ketika fikiran masih bersih, perasaan masih tenteram dan jiwa masih stabil (belum diganggu oleh rintangan kerja dan ujian kehidupan), adalah waktu yang sangat kondusif untuk menerima input ilmu dan tarbiah. Inilah waktu yang dipilih oleh Rasulullah s.a.w. untuk menyampaikan ilmu dan tarbiah.

Daripada al-Irbad bin Sariyah yang bermaksud: “Suatu hari, Rasulullah mengimami kami solat Subuh, lalu Baginda menghadap kami dan memberi nasihat yang indah dan berharga sekali, sehingga air mata kami bercucuran dan hati kami bergetar. Lalu salah seorang daripada kami berkata: ‘Wahai Rasulullah, seolah-olah ini adalah nasihat perpisahan, maka apa pesan Tuan kepada kami?”‘

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Aku wasiatkan kepada kalian untuk bertakwa kepada Allah, mendengar dan taat, walaupun kepada seorang budak dari Habshah. Sesungguhnya sesiapa antara kalian yang hidup setelahku akan melihat perselisihan yang banyak, maka berpeganglah kepada sunnahku, dan sunnah Khulafa’al-Rashidin yang mendapat petunjuk. Peganglah ia, dan gigitlah erat dengan gerahammu dan jauhilah segala pembaharuan (dalam ibadah), kerana suatu yang baru adalah bidaah dan semua bidaah adalah sesat.”(Riwayat Ibn Majah, Ahmad dan al-Baihaqi)

Selepas Rasulullah mendirikan solat, kebiasaannya Baginda akan memperkenalkan tetamu yang baru datang, bertanya khabar tentang sahabat atau terus menziarahi sahabat-sahabatnya yang sakit. Begitulah “life styIe” Rasulullah s.a.w. – semuanya bermula pada waktu pagi. Dan itulah tradisi hidup para salafussoleh. Apa yang telah diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. ini telah diperakui oleh pakar-pakar psikologi Barat lebih 1000 tahun kemudian.

Mengikut kajian mereka, masa 10 minit sebaik sahaja bangun daripada tidur sangat menentukan kecemerlangan pada hari tersebut. Oleh sebab itu, 10 minit itu perlu diisi sebaik-baiknya dengan perkataan, perbuatan, perasaan dan fikiran yang baik-baik. Jangan luahkan sesuatu yang buruk seperti maki hamun, marah-marah atau tindakan-tindakan yang merosakkan.

Sekiranya ini berjaya dilakukan, hari tersebut akan menjadi hari yang ceria dan berjaya. Tetapi, sekiranya tempoh 10 minit itu dirosakkan, maka seluruh hari yang berbaki itu akan turut rosak. Bangkit dengan senyuman, luahkan kata-kata yang baik, fikirkan yang indah-indah,hari itu akan indah.Begitulah hasil kajian pakar psikologi. Baiklah, apakah kita umat Islam menghadapi masalah untuk mengisi 10 minit yang awal sebaik bangun tidur dengan perkataan, perbuatan dan perasaan yang baik?

Jawapannya, tidak! Kita bangun dengan doa (doa bangun tidur), terus bersuci, berwuduk dan kemudian berpakaian dengan pakaian yang bersih, bangun untuk solat sunat fajar dan akhirnya bertasbih, bertahmid, bertakbir, bermunajat dalam solat Subuh. Tidak ada masalah langsung untuk mengisi 10 minit dengan kebaikan dan keindahan selepas bangun tidur bagi seseorang yang benar-benar menghayati Islam sebagai cara hidup.

Ya, kita umat yang cemerlang. Islam adalah pasangan hidup buat manusia untuk maju dunia dan akhirat. Jika satu aspek sahaja daripada rahsia kekuatan ummah ini – yakni solat Subuh berjemaah – dilaksanakan dengan serius dan penuh iltizam, insya-Allah kita akan bangun sebagai satu umat yang kuat. Namun, apabila umat Islam berpaling daripada Islam dan mengutamakan isme dan ideologi yang lain, solat Subuh akan dipinggirkan.

Kini sangat kurang pemimpin Islam seperti kepimpinan generasi awal Islam yang sentiasa mengingatkan rakyat dan pengikutnya untuk solat Subuh berjemaah di masjid dan surau. Ironinya, masjid hanya dibangunkan dan dihiasi, serta dijadikan tempat menjalankan aktiviti ritual, majlis rasmi dan adat istiadat semata-mata tanpa benar-benar diimarahkan dengan solat berjemaah, majlis ilmu dan halakah tarbiah yang efektif dan efisien.

Semoga selepas membaca tulisan yang sederhana ini kita sama-sama mampu menjawab satu soalan yang sangat kritikal dewasa ini: “Apakah K.P.I. (Key Performance Indicator) kekuatan umat Islam di negara ini?” Jawabnya mudah: “Lihat berapa ramai yang solat Subuh secara berjemaah!”

Incoming search terms:

kelebihan solat subuh,hikmah solat subuh,kebaikan solat subuh,kelebihan solat sunat sebelum subuh,kelebihan solat sunat subuh,fadhilat solat subuh,solat sunat subuh,kelebihan subuh,solat sunat fajar,kelebihan sembahyang subuh,kelebihan solat subuh berjemaah,kelebihan waktu subuh,ganjaran solat subuh,fadhilat solat sunat subuh,khasiat solat subuh,kelebihan solat,keistimewaan solat subuh,fadilat solat subuh,pahala solat subuh,Faedah solat subuh,rahsia solat subuh,solat subuh,kepentingan solat subuh,rahsia solat,solat subuh hikmah,pahla solat subuh,Keajaiban Solat Sunat Subuh,nikmat solat subuh,manfaat solat subuh,kisah islami tentang orang yang istikomah dalam solat subuh berjamaah,kelebihan subuh berjamaah,kelebihan solat isya dan subuh,kelebihan orang solat,Kelebihan nikmat sembahyang tahjud,keistimewaan shalat sunah subuh,Apakh klebihn solat subuh
{ 2 comments… add one }

Leave a Comment